RACUN UTK TERUS HIDUP

Seorang pemuda berjumpa seorang Tuan Guru yang bijaksana untuk mendapatkan nasihat, "Guru, saya sudah bosan hidup. Sudah jenuh betul. Rumahtangga saya berantakan. Usaha saya tidak berhasil. Apa pun yang saya lakukan selalu gagal. Saya ingin mati."


Tuan Guru tersenyum sambil mengusap-usap jambang putihnyanya, "Oh, kamu sakit."


"Tidak guru, saya tidak sakit. Saya sihat. Hanya jenuh dengan kehidupan. Itu sebabnya saya ingin mati."


Seolah-olah tidak mendengar alasannya, Tuan Guru berkata, "Kamu sakit. Dan penyakitmu itu dikenali sebagai alahan hidup.. Ya, kamu alergik terhadap kehidupan."


Sang guru memang benar. Banyak sekali di antara kita yang alah terhadap kehidupan. Kemudian, tanpa disedari kita melakukan hal-hal yang bertentangan dengan norma kehidupan.


Hidup ini berjalan terus. Sungai kehidupan mengalir terus, tetapi kita menginginkan status-quo. Kita berhenti di suatu tempat, kita tidak mahu ikut mengalir. Itu sebabnya kita jatuh sakit. Kita mengundang penyakit. Keengganan kita, penolakan kita untuk ikut mengalir bersama kehidupan membuat kita sakit. Yang namanya usaha, pasti ada pasang surutnya. Dalam hal berumahtangga, perselisihan-perselisihan kecil itu memang lumrah dan asam garam berkeluarga.


Persahabatan pun tidak selalunya kekal abadi. Jadi, apa yang kekal dan abadi dalam hidup ini? Kita tidak menyedari sifat kehidupan. Kita ingin mempertahankan suatu keadaan. Kemudian kita gagal, kecewa dan menderita.


"Penyakitmu itu boleh disembuhkan, asal engkau ingin sembuh dan bersedia mengikut petunjukku." demikian kata sang guru.


"Tidak Guru, tidak. Saya sudah betul-betul jenuh. Tidak, saya tidak ingin hidup." Pemuda itu menolak tawaran sang guru.


"Jadi engkau tidak ingin sembuh. Kamu betul-betul ingin mati?"


"Ya, memang saya sudah bosan hidup."


"Baiklah, kalau begitu pagi esok engkau akan mati. Ambillah botol ubat ini. Setengah botol diminum malam ini, setengah botol lagi diminum pukul 6 pagi esok. Engkau akan mati dengan tenangnya pada pukul 8 malam."


Pemuda itu pula menjadi bingung. Setiap guru yang ditemuinya selama ini cuba memberikannya semangat untuk hidup. Yang satu ini aneh. Malah guru ini menawarkan racun. Tetapi, disebabkan pemuda itu benar-benar putus asa dengan kehidupannya, dia menerimanya dengan senang hati.


Sebaik sahaja sampai ke rumah, dia segera menghabiskan setengah botol racun yang disebut "ubat" oleh guru itu. Dan, dia mula merasakan ketenangan yang tidak pernah dirasakannya sebelum ini. Begitu relaks, begitu santai! Tinggal sehari semalam lagi sebelum dia mati. Bermakna dia akan bebas dari segala macam masalah tidak lama lagi.

Malam itu, dia memutuskan untuk makan malam di luar bersama keluarganya di sebuah restoran Jepun. Sesuatu yang sudah lama dia tidak lakukan selama beberapa tahun kebelakangan ini. Kerana mengenangkan ia akan menjadi malam terakhirnya, dia ingin meninggalkan kenangan manis untuk anak isterinya. Sambil makan, dia bersenda gurau. Suasananya santai dan seisi keluarga terhibur!


Sebelum tidur, dia mencium bibir isterinya dan membisikkan kata-kata romantis di cupingnya, "Sayang, aku mencintaimu." Kerana malam itu adalah malam terakhir, dia ingin meninggalkan kenangan manis!


Esoknya bangun tidur, dia membuka jendela kamar dan melihat ke luar. Tiupan angin pagi menyegarkan tubuhnya. Lantas dia tergoda untuk berjogging sambil menikmati pagi yang indah . Pulang ke rumah setengah jam kemudian, dia melihat isterinya masih lena. Mungkin diuliti mimpi indah, fikirnya.


Tanpa mengejutkannya, dia masuk dapur dan membuat dua cawan kopi. Satu untuk dirinya, satu lagi untuk isterinya. Disebabkan pagi itu adalah pagi terakhir, dia ingin meninggalkan kenangan manis!


Si isteri pun berasa aneh sekali, "Sayang, apa yang terjadi hari ini? Selama ini, mungkin saya ada berbuat salah. Maafkan saya, bang."


Di pejabat, pemuda itu menyapa setiap orang, bersalaman dengan setiap orang. Stafnya pun kehairanan.


"Hari ini, Boss kita macam pelik je, kan?"


Dan sikap mereka pun turut berubah. Mereka menjadi lembut hati dan bekerja bersungguh-sungguh dan mengikut segala arahannya. Kerana siang itu adalah siang terakhir, pemuda itu ingin meninggalkan kenangan manis!


Tiba-tiba, segala sesuatu di sekitarnya berubah. Dia menjadi ramah dan lebih bertimbang rasa serta menghargai pendapat-pendapat yang berbeza, tidak seperti sebelumnya.

Tiba-tiba hidup menjadi sungguh indah. Dia mula menghargai dan menikmatinya.

Pulang ke rumah pukul lima petang, isteri tercinta siap menunggunya di pintu depan dengan senyuman yang manis sekali. Kali ini isteri yang terlebih dahulu memberikan ciuman kepadanya, "Abang, sekali lagi saya meminta maaf, kalau selama ini saya selalu menyusahkan abang."


Anak-anak pun tidak ingin ketinggalan, "Ayah, maafkan kami semua. Selama ini, ayah selalu tertekan disebabkan oleh perangai dan kenakalan kami."


Tiba-tiba, sungai kehidupannya mengalir kembali. Tiba-tiba, hidup menjadi sangat indah. Dia terdetik untuk membatalkan niatnya untuk membunuh diri. Tetapi bagaimana dengan setengah botol yang sudah dia minum petang semalam?


Pemuda itu kembali menemui gurunya. Melihat wajah pemuda itu, sang Guru dapat mengetahui apa yang telah terjadi.


"Buang saja botol itu. Isinya air biasa. Kau sudah sembuh, Apabila kau hidup dengan kesedaran bahawa maut dapat menjemputmu bila-bila masa sahaja, maka kau akan menikmati setiap detik kehidupan. Leburkan egomu, keangkuhanmu, kesombonganmu. Jadilah lembut, selembut air. Dan mengalirlah bersama sungai kehidupan. Kau tidak akan jenuh, tidak akan bosan. Kau akan berasa hidup. Itulah rahsia kehidupan. Itulah kunci kebahagiaan. Itulah jalan menuju ketenangan."


Pemuda itu sungguh gembira dan tersedar akan kesilapannya selama ini dalam mengemudi hidup. Dia lantas mengucapkan terima kasih dan menyalami Sang Guru, lalu pulang ke rumah, untuk mengulangi pengalaman malam sebelumnya. Dia masih mengalir terus. Dia tidak pernah lupa hidup dalam kekinian. Itulah sebabnya, dia selalu bahagia, selalu tenang, selalu HIDUP!

Iblis dtg mengganggu ketika sakaratul maut

Syaitan dan Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan. Hadith Rasulullah SAW. menerangkan:
Yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan di waktu maut.”

Rombongan 1
Akan datang Iblis dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Iblis itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.


Rombongan 2
Akan datang Iblis kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.


Rombongan 3
Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.


Rombongan 4
Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya


Rombongan 5
Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Iblis, berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.” Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.


Rombongan 6
Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula Iblis yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?” Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu.” Berkata ulamak Iblis: “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi.
Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami.” Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu: “Bagaimanakah Zat Allah?” Iblis merasa gembira apabila jeratnya mengena. Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu.” Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.


Rombongan 7
Rombongan Iblis yang ketujuh ini Iblis terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad SAW bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat. Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut. Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah.”

Cerita teladan

Ketika belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Salleh (bukan nama sebenar) telah bertemu jodoh dengan isterinya Siti Rahmah (bukan nama sebenar). Salleh mengambil jurusan kejuruteraan manakala Siti Rahmah mengambil bidang perakaunan. Sekarang mereka telah 15 tahun berkahwin dan dikurniakan Allah dengan 7 orang anak. Beberapa bulan yang lepas saya berkunjung ke rumah Salleh di Kajang. Kebetulan pada pagi Ahad itu selepas solat Subuh di Masjid Kajang saya bertemu dengan Salleh. Dia terus mengajak saya ke rumahnya. Dia menyewa rumah teres setingkat tidak jauh dengan Masjid.

Saya mengenalinya sejak hampir 10 tahun yang lalu. Pagi itu tidak sedar kami telah berbual-bual hampir lima jam. Saya ingin berkongsi tentang keluarga Salleh ini yang pada saya satu contoh keluarga yang mendapat keberkatan Allah.

1. Salleh bekerja makan gaji dan pendapatan bersihnya sebulan kurang dari RM3000.
2. Isterinya adalah anak sulung, walaupun berkelulusan ijazah namun menjadi suri rumah sepenuh masa atas kehendak Salleh. Sebagai penghargaan kerana isterinya sanggup tidak bekerja, Salleh memberikan RM300 sebulan kepada ibu-bapa mertuanya setiap bulan.
3. Di samping itu Salleh juga memberi kepada ibunya di kampung RM200 sebulan. Bapa Salleh telah meninggal dunia.
4. Dia memiliki Toyota Unser dengan ansuran RM500 sebulan.
5. Dia membayar rumah sewa RM400 sebulan.
6. Di rumahnya serba lengkap dengan perabot (TV, Peti Sejuk, Mesin Basuh,
Set Sofa) serta teratur dan kemas.
7. Pelik tetapi benar, bil elektrik dirumahnya kurang dari RM20 sebulan sedangkan jirannya tidak pernah kurang dari RM60. TNB dah buat pemeriksaan bahawa meter di rumahnya tidak rosak. Begitu juga dengan bil air kurang dari RM10 sebulan.
8. Empat orang anaknya dihantar ke sekolah agama integrasi.
9. Bayangkan dia boleh hidup dengan Selesa walaupun gajinya kecil jika di nisbahkan dengan keluarganya yang agak besar.

Sejak berkawan dengannya ada beberapa perkara yang saya lihat jadi amalan dia yang patut di contohi;

1. Solat Duha menjadi amalan hariannya walaupun ketika pergi outstation
2. Solat Istikharah menjadi suatu amalan walaupun nak membeli benda yang kecil seperti nak membeli mesin basuh.
3. Sering membaca Surah Al-Waqiah
4. Tidak terlibat langsung dengan sistem Riba. Dia menggunakan Kredit Kad Bank Islam. Pinjaman kereta pun menggunakan sistem pinjaman Islam.
5. Buat baik kepada Ibu bapa dan Ibu Bapa mertuanya.
6. Suka menolong orang dan memberi derma
7. Semua anak-anaknya mempunyai akhlak yang baik dan jarang kena sebarang penyakit.
8. Dia dah empat tahun menggunakan Toyota Unser, sekali pun tidak pernah rosak atau menyusahkannya.
9. Segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat.


Sumber : nourelhousna