TUNKU Ibrahim membaca watikah pemasyhuran baginda sebagai Sultan Johor di Istana Besar, Johor Bahru.
Almarhum Sultan Iskandar dimakam penuh istiadat
JOHOR BAHRU: Sultan Ibrahim Ismail dimasyhurkan sebagai Sultan Johor kelima di Istana Besar di sini, semalam, menggantikan ayahandanya, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail yang mangkat di Hospital Pakar Puteri, kelmarin.
Pelantikan Sultan Ibrahim Ismail dilakukan mengikut Fasal 8 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 sebagai Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Johor Darul Takzim dan Jajahan Takluknya.
Pengumuman pemasyhuran Sultan Ibrahim Ismail dilakukan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pada kira-kira jam 1.35 petang di tangga besar istana berkenaan sebelum keranda jenazah Almarhum Sultan Iskandar dibawa turun dari Balai Singgahsana ke Pedati Diraja untuk ditarik menuju Makam Diraja Bukit Mahmoodiah.
Sebelum itu, pada jam 10.15 pagi, Sultan Ibrahim Ismail yang dilantik sebagai Pemangku Raja petang kelmarin, mengangkat sumpah sebagai Sultan Johor kelima di hadapan Abdul Ghani, barisan Exco kerajaan negeri dan jemaah pangkuan negeri.
Abdul Ghani membaca watikah pelantikan Sultan Johor yang mengesahkan Tunku Ibrahim Ismail sebagai Sultan Johor.
JENAZAH Almarhum Sultan Iskandar dibawa dari Istana Besar dengan penuh adat istiadat untuk disemadikan di Makam Diraja Mahmoodiah Johor Bahru (gambar kiri) manakala (kanan) Sultanah Johor, Sultanah Zanariah mengesat air mata ketika istiadat pemakaman, semalam.
"Menurut Fasal 8, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895, disahkan bahawa waris Sultan Johor, Tuanku Ibrahim Ismail dimasyhurkan sebagai raja dan Sultan Johor Darul Takzim dan jajah negerinya di bawah undang-undang tubuh kerajaan negeri," katanya.
Sebaik Abdul Ghani selesai membaca watikah pelantikan itu, Sultan Ibrahim Ismail kemudian mengangkat sumpah sebagai Sultan Johor kelima dengan membaca lafaz sumpah pelantikan Sultan Johor.
Baginda yang dilihat sebak dan sedih ketika membaca watikah pelantikan bersumpah akan memerintah dengan adil, saksama dan bertimbang rasa pada semua rakyat tidak mengira bangsa serta agama.
"Saya, Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar menaiki takhta menjadi Sultan Yang Dipertuan Negeri Johor Darul Takzim dan Jajahan Takluknya. Saya bersumpah akan memerintah dengan adil, saksama dan timbang rasa pada semua rakyat.
MENTERI Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengetuai laungan �Daulat Tuanku� di hadapan Sultan Ibrahim Ismail selepas membacakan watikah pemasyhuran Sultan Johor kelima di Istana Besar, Johor Bahru, semalam.
"Saya akan memelihara dan menghormati agama Islam, adat istiadat Melayu dan memegang teguh pada undang-undang tubuh kerajaan negeri Johor dan Undang-Undang negeri," katanya.
Sementara itu, sebelum jenazah Almarhum Sultan Iskandar dibawa turun dari Balai Singgahsana, seluruh rakyat negeri yang berhimpun di hadapan Istana Besar, melaungkan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali kepada Sultan Ibrahim Ismail sebaik Abdul Ghani selesai mengumumkan pelantikan baginda sebagai Sultan Johor kelima.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot kemudian membaca doa selamat atas pelantikan Sultan Ibrahim Ismail sebelum pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri (TSN) Johor memainkan lagu negeri, 'Bangsa Johor'.
Jenazah Almarhum Sultan Iskandar yang diletakkan di dalam pedati berkenaan ditarik lebih 30 askar TSN dengan diiringi 78 das tembakan menuju makam diraja yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Istana Besar.
Turut mengiringi pedati berkenaan, Sultan Ibrahim Ismail; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan Tunku Bendahara Johor; Tunku Abdul Majid Idris.
Tunku Ibrahim dimasyhur
Posted by
Azam
Saturday, January 23, 2010
Labels: Tawarikh
0 comments:
Post a Comment