Apabila seorang Datuk Bendahara berkata kepada sultan, “patik kurang periksa, tuanku,” ia tidak bermaksud beliau sebagai orang besar tidak mempunyai kapasiti untuk memeriksa sesuatu hal. Ia secara tersirat bermaksud, “aku tak tahulah!”

Jika seorang ayah berkata kepada satu rombongan peminangan, “anak saya baru saja habis belajar, belum pun dapat kerja lagi,” ia bukan bermaksud beliau menyuruh rombongan itu datang semula selepas anaknya mendapat pekerjaan. Ia secara tersirat bermaksud, “aku rasa anak aku tak sesuai kahwin dengan anak engkau.”

Dua orang insan dari myJodoh yang bertemu dan berbual panjang untuk kali pertama sudah tentu mempunyai harapan yang tinggi. Ketika salah seorang berkata, “saya masuk myJodoh ini bukan untuk cari jodoh pun, tetapi untuk menambah kenalan,” ia tidak memberi maksud beliau tidak berniat untuk berkahwin atau main-main menyertai myJodoh. Ia secara tersirat bermaksud, “aku memang nak kahwin, tetapi bukan dengan engkau, engkau ok untuk dijadikan seorang kawan sahaja.”

Ini adalah bahasa-bahasa tersirat yang sering digunakan agar tidak melukakan pihak lain. Masalah sering timbul apabila mesej yang cuba disampaikan tidak diterima dengan baik, lalu disalah anggap.

Jika mesej tidak diterima dengan betul, sultan tadi mungkin berkata, “kalau kurang periksa, pergilah periksa sampai habis.”

Jika mesej tidak diterima dengan betul, pihak rombongan meminang tadi mungkin berkata, “bertunanglah dahulu, nanti dah dapat kerja, kahwinlah.”

Jika mesej tidak diterima dengan betul, salah seorang pasangan yang bertemu tadi mungkin berkata, “ceh! dia ni tak serius, jahat, buat apa orang macam ni dalam myJodoh? Main-main saja! Kenapa dalam myJodoh banyak orang macam ni?”

Bahasa-bahasa tersirat ini banyak digunakan setiap hari, banyak didengari tetapi tidak difahami. Untuk menjadi seorang “good listener” atau pendengar yang baik, seseorang perlu melatih diri untuk merenung kata-kata orang lain. Bukan setakat dengar, tetapi renung!

Antara latihan yang paling mujarab adalah dengan merenung ayat-ayat Al-Quran. Firman Allah di dalam surah Yunus ayat 24, “Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).”

Al-Quran hanya mengandungi 6,666 ayat, tetapi mengandungi petunjuk seluruh sistem kehidupan manusia dan alam. Tidakkah anda berasa pelik apabila Kamus Dewan lebih tebal dari kitab Allah? Ini adalah kerana Al-Quran memuatkan banyak ayat untuk manusia berfikir. Its compact yet complete. Dengan berpandukan hadith-hadith nabi, ayat-ayat yang pendek dan padat dapat dihuraikan menjadi sesuatu yang besar, seterusnya menjadi penyelesaian kepada seribu satu macam masalah manusia dan alam.

Sudah tentu, proses merenung Al-Quran perlu dilakukan dengan kaedah yang betul dan berpandukan sumber yang betul. Ia boleh dimulakan dengan membeli sebuah terjemahan bernilai tidak lebih dari RM20.00 di pasaran. Jika bertemu sesuatu yang tidak difahami, rujukkan perlu dilakukan segera.

Kajian juga perlu dilakukan sedikit demi sedikit. Ia bukan novel cinta yang perlu dihabiskan dalam masa satu malam. Ingat, anda sedang melatih minda untuk berfikir. Memadai dengan beberapa ayat setiap hari untuk difikir dan direnung. Di dalam Tafsir At-Tabari, Imam At-tabari telah merekodkan kenyataan Ibnu Mas’ud, bahawa beliau dan para sabahat dahulu mempelajari tidak lebih dari sepuluh ayat Al-Quran setiap kali, mereka tidak akan melampauinya sebelum betul-betul memahami secara benar maknanya dan mengamalkannya. [1]

Wallahu’alam.

Selamat mengkaji dan merenung!

0 comments: